Nov 22, 2010

bingkisan sepetang.....


Noblesword825

Kuala lumpur, ibukota Malaysia. Tempat yang menjanjikan kemewahan, kemajuan dan kebahagiaan. Adakala, atau selalunya menjanjikan kemusnahan dan kesengsaraan. Kalau hendak dibandingkan Kuala lumpur tahun 70 an atau 80 an, dengan yang sekarang ini…umpama melihat bayi yang telah dewasa. Pembangunan yang terhasil sekarang adalah berkat kebijaksanaan segelintir pemimpin dulu dan sekarang, dibantu idea-idea bernas oleh golongan sokongan dan professional.

Hari ini, saya cuba berdiri ditengah-tengah hiruk pikuk kota, ditengah panas terik yang menyiat-nyiat kulit muka. Bunyi bising dan asap dari kenderaan, sudah cukup membuatkan kepala runsing. Sedang tegak berdiri umpama orang tidak siuman, saya terlihat sekumpulan pelajar sekolah…5 orang semuanya, 3 lelaki dan 2 perempuan. Bergelak ketawa, cuit sana…cuit sini..si lelaki menarik-narik rambut si perempuan “ hei..sial la ko..” si perempuan menjerit, mungkin kerana suaranya yang agak kuat membolehkan saya mendengarnya walaupun jarak antara kami agak jauh.

Begitu seronok mereka bergurau senda…kalaulah zaman saya dibangku sekolah dahulu, mungkin agak berbeza. Kami dikawasan luar Bandar, perlakuan yang sedemikian bolelah dikatakan sedikit janggal. Kalau ada pun mungkin tidaklah seteruk itu. Tetapi, disini…di kawasan yang serba maju ini…semuanya tidak mustahil untuk berlaku. Tinn…tinn…”nak mati ke??” lamunan saya terganggu, cepat-cepat saya beralih ke bangku jalan. Pembonceng motosikal yang melaung sebentar tadi terus berlalu pergi dengan muka masam mencuka. Maklumlah, saya berdiri ditengah jalan, sebelumnya jalan itu kosong....

Saya berteduh di bawah bangunan kedai, mengelap-ngelap peluh didahi, cuaca ketika itu sangat terik, terasa seperti hendak pitam. “Aduh..panas macamni pun dah tak tahan…” saya mengeluh….kalau hendak dibandingkan dengan tok nenek dahulu…generasi sekarang memang terlalu lemah. Asyik dimanjakan dengan itu dan ini, kalau mahu, minta dan terus dapat. Kalau zaman datuk nenek dahulu, mereka kena berusaha untuk mendapatkan sesuatu, sebab itulah generasi mereka menjadi seorang yang tahan lasak. Lihat sahaja pada tapak tangan mereka…kasar-kasar semuanya.

“adk..nak kemana? Boleh naik…” saya dilaung dari jauh…hmm..ada seorang pemandu teksi dibahu jalan melambai-lambaikan tangan, saya hanya menggelengkan kepala. Melihat pak cik itu, saya teringatkan ayah, dari ayah saya belajar apa itu kesusahan dan tanggungjawab…. Saya belajar untuk menghormati orang tua, pantang terlajak kata..kalau bernasib baik saya hanya ditengking. Darinya, saya kenal apa itu budi bahasa. Masa muda ayah garang..cukup bengis..tapi bengisnya mendidik saya untuk mengenal maruah dan harga diri.

Sewaktu hendak melangkah pergi, saya melihat seorang mak cik tua sedang bersusah payah memimpin tangan seorang budak kecil melintas jalan. Hendak katakan budak itu anak, tidak mungkin..kerana perbezaan umur yang agak ketara antara mereka. Mak cik itu kelihatan terlalu tua dan uzur, uban sudah memutih penuh dikepala. Mungkin cucu agaknya, tetapi anak manalah yang sanggup membiarkan ibu menjaga cucu dalam keadaan sedemikian, hmm..inilah anak warisan bangsa. Melihat kepada mak cik itu, saya teringat kan ibu, dari ibu…saya mengenal kasih sayang, apa itu menghargai sesuatu yang penting. Ibu seorang yang penyayang dan pengasih, semua yang dilakukan untuk anak-anak nya. Saya sentiasa cuba untuk belajar dari sifatnya itu, namun sifat ibu tetap sifat ibu, saya tidak mungkin menjadi sebaik ibu.

Dalam perjalanan ke perhentian bas, fikiran saya berputar…umpama masa berputar, ibarat benih bunga yang bertunas, menjadi pokok yang tinggi menjunjung kelangit, cukup umurnya mengeluarkan bunga yang cantik ,menarik perhatian ramai, namun…sampai masa, akan membongkok jua, seterusnya menyembam ke tanah si Pencipta dimamah anai-anai. Walau segagah manapun akan jatuh juga ke bumi, begitu lah bezanya Pencipta dan penciptaan.

Lama saya termenung di perhentian bas, sebelum kami bergerak menuju ke kawasan untuk menaiki bas, apa yang saya lihat,rasa dan dengar…hiruk pikuk..bunyi bising, asap kenderaan …bangunan-bangunan beraneka warna…saya ada ataupun tidak….ianya akan sentiasa begini. Dan terus begini….hanya corak dan keadaan yang berubah mengikut peredaran masa. Apa yang pasti, manusia didalamnya akan terus berubah. Ayah dan ibu juga begitu, saban waktu saya meninggalkan mereka…sekali sekala pulang ke desa, terpancar riak-riak tua diwajah mereka, seiring dengan masa yang merangkak jauh.

Ayah dan ibu adalah lelaki dan perempuan, dari seorang ibu lahirnya lelaki yang bakal dipanggil ayah, yang akan menjaga seorang isteri dipanggil ibu. Ibu dan ayah menjaga anak, lelaki atau perempuan. Anak-anak bakal menjadi ibu atau ayah kepada anak-anak mereka, begitulah seterusnya ia berlaku, berlaku, terus dan sentiasa berlaku…..

Sejuk pendingin udara didalam bas, membuatkan saya mengantuk….sebelum tidur saya berdoa, agar saya dapat menjadi anak yang tahu mengenang jasa orang tua saya, semoga di kemudian hari perkara yang sama turut dilakukan oleh anak-anak saya....wallahualam….


wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami agar isteri kami dan anak cucu kami menjadi penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa” ( Al- Furqaan: 74)

No comments:

Post a Comment