Apabila meningkat dewasa, baik lelaki mahupun perempuan akan mempunyai perasaan untuk disayangi dan menyayangi. Dalam erti kata lain bercinta iaitu mempunyai kawan yang berlawanan jantina sebagai sahabat, teman rapat atau lebih romantis sebagai kekasih. Sebaik menjangkau usia remaja, secara semulajadi perasaan itu akan timbul. Walaubagaimanapun terpulanglah kepada diri masing-masing untuk mengawalnya.
Kalau dulu, orang-orang tua di zaman kemasyuhran P Ramlee begitu menitik beratkan soal jodoh, andaikata anak gadis mereka tidak disunting oleh mana-mana jejaka sesudah mencapai usia 18 tahun mereka akan dilabel sebagai andartu atau anak dara tua. Perkara ini sangat meresahkan ‘uncle-uncle’ di era berkenaan.
Teringat saya kepada pengalaman sahabat dibangku sekolah. Pertama kali dia meluahkan hasrat untuk berkenalan dengan seorang pelajar perempuan membuatkan saya tergelak tidak kering gusi. Manakan tidak, bagaimana sahabat saya hendak berkenalan dengan perempuan, sedangkan mahu bercakap dengan perempuan pun sampai berpeluh satu badan. Begitu bersungguh-sungguh dia meminta bantuan saya, siap mahu mencuci pakaian saya sebulan.
Mahu tidak mahu, saya turutkan juga permintaannya itu.. Dia menulis sepucuk surat meminta saya memberikan kepada pelajar perempuan yang diidam-idamkannya itu, biarlah saya bahasakan dia Aina. Selepas menulis surat, keesokan hari saya terus menyampaikannya kepada Aina. Sambil itu sahabat saya bergelora menunggu saya dihujung koridor tidak jauh dari tempat saya dan Aina berada. Sengaja saya mengusik Aina, mahu membuatkan sahabat saya cemburu, biar saya bahasakan sahabat saya sebagai Amir. Kelakar betul hati melihat muka Amir berkerut-kerut, menahan cemburu.
Selang beberapa hari selepas itu, Aina membalas surat tersebut, tidak sabar-sabar Amir membacanya sampai sanggup mengunci pintu didalam tandas, saya hanya menunggu di luar. Tiba-tiba Amir menjerit “yeahhooo” …faham-faham sahajalah. Dah dapatlah tu….umpama bidadari syurga datang menyembah, tiada kata-kata yang dapat membayangkan kegembiraan Amir. Tersengih dia keluar dari tandas mengenyitkan mata sambil berjalan mengembang-ngembangkan dada. Saya hanya mampu tersenyum dengan gelagat Amir.
Seterusnya mereka saling berutus surat. Tersengih sana, tersengih sini. Port dating yang paling saya tak lupa adalah bawah tangga bahagian belakang blok F kerana disitulah tempat yang paling selamat dari dilihat oleh guru-guru. Hari hari yang mendatang Amir rasakan seperti berada di atas awang-awangan, ‘makan tak kenyang mandi tak basah tidur tak lena’ sangat tepat ditujukan kepada Amir. Kembang hatinya setiap kali membaca surat-surat dari Aina. siap diletakkan bedak pada surat itu. Berbunga-bunga ayat disusun, madah pujangga ber alun dalam setiap bait perkataan mengisi ruang surat. Hampir setiap malam sebelum tidur Amir membaca surat-surat itu dengan jiwa yang melayang entah kemana.
Geli hati saya teringatkan mereka, tetapi cinta , monyet tidak kemana…akhirnya mereka membawa haluan masing-masing. Itu adalah pengalaman bercinta ketika zaman saya di bangku sekolah. Berbeza dengan sekarang. Surat menyurat mungkin jarang digunakan. Maklumlah sekarang ni pelajar-pelajar boleh berhubung melalui sms, lebih mudah dan cepat. Tiada lagi bedak hendak dibazirkan untuk ditabur ke surat-surat. Kan lebih jimat begitu...
Perbezaan gaya hidup turut mengubah perspektif masyarakat sekarang. Dimana mereka lebih terbuka. Gadis yang berumur 18 tahun dianggap masih mentah untuk mendirikan rumah tangga. Malangnya, kerana perbezaan gaya hidup jugalah menyebabkan keruntuhan moral remaja sekarang. Kemudahan sms digunakan untuk membuat ‘phone sex’, kecanggihan telefon bimbit digunakan untuk melihat video-video lucah orang biasa mahupun artis, dan akhirnya maruah tergadai.
Jangan salahkan sesiapa dan apa. Salahkan diri, kerana tidak melihat kemungkinan dihadapan. Salahkan diri kerana membuat pilihan yang silap. Ketamadunan seolah-olah runtuh kerana kecerdikkan isinya, bukan kerana kebodohannya. Begitu semberono sekali dunia sekarang. Pulanglah ke pangkal jalan, jangan tunggu untuk hari yang tiada esok. Semoga saya mampu untuk menjaga diri dari semua kejahilan ini. Amin….
“Wahai Tuhan kami, kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat”.
~~~Al-Mu’minuun: 109
cinta tetap sama, tak pernah lapuk...
ReplyDeleteyang berbeza cuma pemiliknya yang diberi peluang untuk merasa ni'mat itu (atau mungkinkah ia nikmat) dan cara mereka mengendalikannya...
moga kita semua dilindungiNya daripada hanyut dalam mainan nafsu yang bertopengkan naluri suci bernama cinta...amiin
betul...jangan terlalu dibawa perasaan...
ReplyDeletebiar berpada-pada...=)..kalau itu yang tersirat..akhirnya itu juga yang tersurat...